Thursday, February 2, 2012

Kurus Mahu Elak Penyakit



Kurus mahu elak penyakit
Oleh NORAINI ABD. RAZAKnoraini.razak@utusan.com.myGambar ABDUL Nazir MOHAMED
DULU kami obes,'' kata pasangan Dr. Nurhalina Azly Minhat dan Dr. Mahathir Mohamed. Hampir terpacul perkataan 'tipu' lantaran penampilan suami isteri itu langsung tidak menggambarkan bahawa mereka pernah obes atau mengalami lebih berat badan keterlaluan.
Sambil tersenyum Dr. Mahathir menunjukkan gambarnya. ''Berat badan saya dulu 110 kilogram. Inilah saya,'' katanya. Dr. Nurhalina mencelah: ''Dia memang sentiasa gemuk, kami kenal sejak sekolah rendah dan dia memang gemuk dari dulu.'' Pasangan itu mengimbau kenangan zaman persekolahan di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor. Kami tertawa.
Mata beralih ke gambar seorang wanita. ''Itulah saya,'' kata Dr. Nurhalina sambil menegaskan bahawa beliau bukan mengandung. Berat badannya ketika itu melebihi 70 kilogram. Biar pun kedua-dua bergelar doktor, namun tetap mengalami masalah berat badan berlebihan.
Pemegang ijazah perubatan dari Kanada itu mengakui tanpa sebab tertentu mungkin mereka akan terus gemuk atau obes hingga ke hari ini.
Mungkin mereka tidak akan berusaha untuk mencapai berat badan ideal. Malah lebih menakutkan mungkin kedua-duanya ditimpa penyakit akibat gagal mengawal berat badan yang amat berkait rapat dengan penyakit-penyakit maut seperti jantung.
Didorong dua faktor utama, Dr. Mahathir tergerak hati untuk mengubah penampilan susuk tubuhnya. ''Yang pertamanya pesakit yang datang ke klinik. saya terfikir bagaimana pesakit mahu meminta nasihat saya tentang masalah berat badan sedangkan saya sendiri obes,'' katanya.
Sejarah keluarga Dr. Mahathir yang mempunyai penyakit berbahaya termasuk kanser, jantung dan kencing manis, menjadi faktor seterusnya yang membawa kepada perubahan fizikal beliau.
Apatah lagi selepas kematian sepupu akibat penyakit jantung, tentunya kegusaran bapa kepada dua cahaya mata itu semakin meningkat.
Sepupunya meninggal dunia ketika berusia awal 40-an.
Katanya, faktor genetik tidak boleh diabaikan. ''Kalau memang kita ada keturunan yang mengidap penyakit berbahaya tetapi kita menjaga kesihatan, mengawal pemakanan dan bersenam, mungkin kita akan terselamat daripada mendapat penyakit tersebut.
''Pendek kata menyalahkan faktor genetik semata-mata adalah tidak betul,'' kata Dr. Mahathir.
Mengakui tidak mudah menurunkan berat badan, beliau memerlukan kira-kira lapan bulan (dua pusingan) untuk mencapai berat ideal.
Kerisauan tersebut turut menjangkiti Dr. Nurhalina apabila mendapati paras kolesterolnya terlalu tinggi.
''Bukan saja berat badan meningkat, malah ujian darah menunjukkan paras kolesterol saya sangat tinggi, lebih teruk daripada orang yang berusia 60 tahun,'' katanya.
Keputusan ujian darah yang mengejutkan itu menyebabkan Dr. Nurhalina menyertai misi suaminya menurunkan berat badan. Katanya, kegemukan berpunca 90 peratus daripada pemakanan dan hanya 10 peratus akibat tidak bersenam.
Bagaimanapun ketidakstabilan hormon juga dikenal pasti menyebabkan seseorang itu sangat sukar menurunkan berat badan biar pun separuh mati menahan lapar.
Lantas usaha Dr. Mahathir dan Dr. Nurhalina tertumpu kepada mengenal pasti rawatan yang mampu menstabilkan hormon dan penjagaan pemakanan menjadikan proses menurunkan berat badan berkesan.
Bermula daripada situ, kedua-dua pengamal perubatan itu mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Mereka mendalami rawatan terkini Human Chorionic Gonadotropin (HCG). Kaedah tersebut sememangnya bersesuaian untuk menurunkan berat badan, pada masa yang sama memelihara otot-otot daripada menggeleber. Dr. Nurhalina dan Dr. Mahathir yang berjaya menurunkan berat badan mahu membantu pesakit obes yang inginkan rawatan dengan membuka Timeless. Kedua-duanya juga mengekalkan klinik perubatan di Taman Datuk Harun untuk membantu penduduk di kawasan tersebut.
RAWATAN HCG DI TIMELESS
1. Sesi konsultasi pertama selama dua jam bagi mengenal pesakit secara mendalam dari segi gaya hidup, sejarah penyakit dan amalan pemakanan.
2. Pesakit akan menjalani ujian fizikal (seperti tekanan darah, tiroid, jantung, berat dan BMI). Ujian darah juga dijalankan untuk mengetahui kandungan lemak, gula, hormon dan hemoglobin dalam darah.
3. Sekiranya ada keputusan yang tidak bagus, doktor akan memastikan hormon atau faktor-faktor lain diperbetulkan dahulu.
4. Rawatan HCG memakan masa dua bulan, pada masa itu, pemakanan rendah kalori perlu dipraktikkan. Senaman ringkas juga akan diajar supaya tulang dan otot menjadi kuat.
5. Sekiranya pesakit belum turun ke tahap normal BMI, rawatan perlu diulang sehingga normal untuk mengelakkan kejadian yo-yo, di mana berat akan naik semula. Ini disebabkan hipotalamus yang masih tidak distabilkan.
Sekiranya rawatan HCG digabungkan dengan Zerona dan radiofrekuensi, kesannya lebih cepat. Zerona merupakan low level laser yang tidak invasif, tidak sakit, tidak melibatkan bius dan tiada pembedahan.
Pesakit disinarkan lampu laser ini selama 20 minit di bahagian depan dan 20 minit di bahagian belakang pada setiap sesi. Hanya 6 sesi diperlukan selama 2 minggu untuk mendapat kesan pelangsingan.

No comments:

Post a Comment