Thursday, February 2, 2012

Bedak Padat Punca Jerawat


Bedak padat punca jerawat?
Oleh DR. NURHALINA AZLY MINHAT
JERAWAT merupakan masalah yang sering dilalui oleh remaja, perempuan mahupun lelaki. Jerawat pada kulit muka boleh menyebabkan seseorang itu rasa rendah diri kerana ia mengganggu penampilan diri.
Namun begitu, jerawat boleh diubati. Sekiranya anda menghadapi masalah jerawat, penjagaan kulit muka harus diutamakan kerana jerawat akan meninggalkan parut berlubang dan kesan hitam yang lebih sukar dirawat.
Sebab-sebab terjadinya jerawat
1. Faktor yang menyebabkan jerawat terjadi berpunca daripada proses pembaharuan sel kulit berlebihan oleh sel keratinosit yang melitupi liang pori-pori dan mengakibatkan liang tersebut tersumbat yang dikenali sebagai "microcomedo".
2. Apabila mencapai umur remaja, hormon androgen yang tinggi akan mengaktifkan pengeluaran sebum iaitu minyak.
3. Akibatnya, kolonisasi bakteria Propionibacterium acnes bertambah kerana keadaan sangat sesuai untuk pembiakannya.
4. P. acnes akan menyebabkan radang dan penghasilan sel keratinosit yang berlebihan.
Cara merawat jerawat
1. Penggunaan produk penjagaan muka yang tidak sesuai akan memburukkan keadaan. Gunalah produk penjagaan muka sedikit berasid yang mengandungi PHA (Poly Hydroxy Acid) atau Lactobionic Asid dari Neostrata menyebabkan eksfoliasi minimum dan tidak merengsakan kulit. Triclosan di dalam pencuci muka ini dapat membunuh bakteria pada muka. Selepas mencuci muka, perlulah menggunakan pelembap. Walaupun kulit muka berminyak, penggunaan pelembap pada muka masih diperlukan untuk mengawal pengeluaran sebum supaya muka tidak berminyak.
2. Penggunaan antibiotik pada permukaan muka juga dapat membantu membunuh bakteria yang ada pada kulit. Sekiranya jerawat tidak banyak, memadai dengan antibiotik sapuan sahaja. Sekiranya perlu, doktor akan menasihatkan supaya pesakit mengambil antibiotik dalam bentuk pil untuk ditelan dan perlu diteruskan untuk sekurang-kurangnya enam minggu seperti minocycline, tetracycline, doxycycline. Penggunaan krim tretinon atau retinol pada waktu malam juga dapat merawat jerawat. Jerawat yang tidak terkawal boleh dirawat dengan Ro-Accutane tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan dan memerlukan pemantauan pakar kulit.
3. Rawatan "peel" dengan glikolik asid, salicylic asid atau Jessner's mampu merawat jerawat yang aktif. Rawatan ini dapat membunuh bakteria pada muka, mengurangkan pengeluaran sebum, membersihkan liang pori-pori dan melakukan exfoliation. Bagi salicylic asid dan jessner's peel, kulit akan merasa panas sedikit semasa rawatan, jerawat akan kering dan kulit mengelupas sedikit beberapa hari selepas rawatan dilakukan. Sapu pelembap kulit supaya kulit cepat sembuh. Rawatan peel boleh dilakukan sebulan sekali sehingga masalah jerawat dapat dikawal. Rawatan peel selamat jika dilakukan atas nasihat doktor.
4. Pastikan kesemua produk penjagaan muka tidak menyebabkan muka berminyak. Gunalah krim penghalang matahari yang berasaskan gel supaya muka tidak berminyak atau makan pil penghalang matahari seperti heliocare oral (dari sejenis paku pakis polypodeum leucotomus) untuk mengelak parut kehitaman akibat radang dari jerawat.
5. Elak mengguna bedak padat kerana span yang lembap, digunakan berkali-kali, terperap di dalam bekas menggalakkan pembiakan bakteria. Gunalah bedak berasaskan mineral seratus peratus tanpa sebarang campuran bendasing yang mempunyai sifat anti-inflammatori, tidak menutupi liang pori-pori kerana molekulnya besar dan bedak yang kering tidak menggalakkan pembiakan bakteria seperti Kiss mineral mekap.
6 Selain itu, makanlah lebih sayur-sayuran dan buah-buahan untuk zat dan vitamin pada kulit muka. Perbanyakkan minum air kosong, ambil probiotik untuk mengimbangkan bakteria dalam badan.
7. Sesetengah kaedah perancangan keluarga boleh menyebabkan hormon tidak stabil dan masalah jerawat. Pil perancang kehamilan Diane-35 boleh diambil untuk mengawal jerawat ataupun boleh merancang keluarga dengan alat cegah kehamilan IUCD Cu250, yang tidak berasaskan hormon.
8 Jangan sesekali memicit atau menekan jerawat, ini akan menyebabkan bakteria tersebar dan kulit luka akan meninggalkan parut hitam dan berlubang.
Pada peringkat awal rawatan, jerawat mungkin akan bertambah dahulu sebelum ia berkurangan. Ini merupakan perkara biasa, janganlah cemas, lakukan penjagaan muka dengan tekun dan ikutilah nasihat doktor. Jangan hentikan pengambilan antibiotik sesuka hati. Percayalah, setiap penyakit itu ada penawarnya.
PENULIS boleh dihubungi di 0378808486, 0172661868.

No comments:

Post a Comment